Friday, 12 August 2011

Fadilat Tarawikh...Hadis Palsu Yang Wajib Dihindari....

Fadilat Tarawikh...Hadis Palsu Yang Wajib Dihindari....

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di

antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Artikel dipetik disini: http://suaraalmuttaqin.blogspot.com/

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Majlis Berbuka Puasa

Insya-Allah, majlis berbuka puasa secara
'official' akan dijalankan pada 13/8 & 20/8 iaitu
pada hari Sabtu di Surau Raudatul Ilmi. Majlis berbuka dibuat secara 'potluck', bagi sesiapa yang berhajat untuk membawa kuih-muih, lauk-pauk atau makanan-makanan lain amatlah dialu-alukan.

Surau akan menyediakan nasi putih, kurma dan air mineral. Di jemput semua muslimin dan muslimat hadir untuk memeriahkan suasana ini disamping dapat berkenal-kenalan sesama kariah, dapat menjalinkan hubungan silaturahim dan solat maghrib berjemaah.

Semoga majlis ini diberkati dan dirahmati oleh Allah Taala. Insya-Allah.


Zakat Fitrah



Bagi sesiapa yang berhajat untuk membayar Zakat Fitrah,
bolehlah berbuat demikian di Surau Raudatul Ilmi, Taman
Desaminium Rimba selepas selesai solat sunat Witir.
Pembayaran Zakat Fitrat dikendalikan oleh Encik Halim.
Sabtu dan Ahad pada selepas solat fardhu berjemaah.
Insya-Allah.

Wednesday, 27 July 2011

SELAMAT KEMBALI RAMADHAN AL-MUBARAQ


 
Alhamdulillah dapat lagi sekali kita berjumpa dengan bulan Ramadhan Al-Mubaraq, seseungguhnya Allah S.W.T masih memberikan kita peluang untuk memperbaiki diri. Sekadar merenung kedatangan bulan yang penuh berkat ini, di dalam blog ini di nyatakan cara-cara untuk kita bersiap bagi mendapatkan keberkatan di bulan yang mulia yang akan menjelang lagi seminggu. Semoga persiapan kita menjadikan ibadah berpuasa dan berbagai ibadah lainnya, sebagai yang terbaik dalam sejarah Ramadhan yang pernah kita lalui. Insyallah.

Persiapan Pertama: إعداد الروحية (Spiritual)



Orang-orang solleh kebiasaannya melakukan persiapan ini seawal mungkin sebelum datang Ramadhan. Bahkan mereka sudah merindukan kedatangannya sejak bulan Rajab dan Syaaban.

Biasanya mereka berdoa :  

"Ya Allah, berikanlah kepada kami keberkatan pada bulan Rajab dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan."


Dalam rangka persiapan spiritual itu, dalam surah At-Taubah Allah melarang kita melakukan berbagai maksiat dan kezaliman sejak bulan Rejab. Tapi bukan bererti di bulan lain dibolehkan. Hal ini dimaksudkan agar sejak bulan Rejab kadar keimanan kita sudah meningkat. Boleh dikiaskan, bulan Rejab dan Syaaban adalah masa pemanasan (warming up), sehingga ketika memasuki Ramadhan kita sudah boleh menjalani ibadah puasa dan sebagainya itu ibarat sudah biasa.


Persiapan Kedua: Kedua: التحضير البدني(Jasmani)



 Bagi menempuh bulan Ramadhan, kita memerlukan jasmani yang lebih mantap dari biasanya jika jasmani lemah, kemuliaan yang dilimpahkan Allah pada bulan Ramadhan tidak dapat kita raih secara optimal.


Maka, sejak bulan Rejab Rasulullah dan para sahabat membiasakan diri melatih fizikal dan mental dengan melakukan puasa sunat, banyak berinteraksi dengan al-Qur'an, biasa bangun malam (qiyamul-lail), dan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan.


Persiapan Ketiga إعداد الملكية (Harta)


Persiapan harta di sini membawa maksud persiapan untuk melipatgandakan sedekah, kerana Ramadhan merupakan bulan untuk memperbanyak sedekah, bukannya untuk membeli keperluan buka puasa atau hidangan hari raya sebagaimana tradisi kita selama ini. Ini adalah kerana pahala bagi mereka yang bersedekah pada bulan ini berlipat ganda dibandingkan bulan-bulan biasa.



Persiapan Keempat الفكرية والعلمية إعداد (Intelektual dan keilmuan)



Agar ibadah Ramadhan boleh optimal, diperlukan bekal wawasan dan tashawur (persepsi) yang benar tentang Ramadhan. Caranya dengan membaca berbagai bahan rujukan dan menghadiri majlis ilmu tentang Ramadhan.

Kegiatan ini berguna untuk mengarahkan kita agar beribadah sesuai tuntunan Rasulullah SAW, selama Ramadhan. Menghafal ayat-ayat dan doa-doa yang berkait dengan perlbagai jenis ibadah, atau menguasai berbagai masalah dalam fiqh puasa, juga penting untuk dipersiapkan.
petikan tazkirah:http://tabiitabien.blogspot.com/2010/08/selamat-kembali-ramadhan-al-mubaraq.html


Rayuan Sumbangan Ihya' Ramadan

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

-  Sukacita dimaklumkan pihak ajk Surau Raudatul Ilmi telah mengatur
program Ihya' Ramadan bagi menghidup dan mengimarahkan surau bersem-
pena bulan yang penuh keberkatan ini untuk faedah semua penduduk muslimin
dan muslimat Taman Desaminium.


- Perlaksanaan program ini memerlukan sumbangan kewangan. Untuk maksud
tersebut, pihak ajk surau merayu sudilah kiranya YBhg. Tuan / Puan / Encik / Cik
menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menjayakan program tersebut.





- Di sini disertakan no akaun Surau bagi mereka yang berhajat:
 No akaun SURAU/CIMB: 1211-0005775-05-1

Firman Allah SWT:
'Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang
walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan
melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar"
(surah An-Nisa, 40) 



Segala jasa baik dan kerjasama YBhg. Tuan / Puan / Encik / Cik semua,
semoga sumbangan bagi menjayakan Ihya' Ramadan ini mendapat ganjaran
yang setimpal di sisi ALLAH dan didahului dengan ucapan jutaan terima
kasih, jazakallah khairan kasiro.

Aktiviti sepanjang bulan Ramadan 2011 Surau Raudatul Ilmi


Dengan sukacita dimaklumkan pihak ajk Surau Raudatul Ilmi telah mengatur
program Ihya' Ramadan bagi menghidup dan mengimarahkan surau bersempena bulan yang penuh keberkatan ini untuk faedah semua penduduk muslimin dan muslimat Taman Desaminium. Program-program tersebut ialah:

1)    Solat berjemaah dan solat sunat Tarawih berjemaah yang akan di pimpin
    oleh Imam Al Hafiz iaitu En. Bahaudin.

2)    Bacaan Taklim/ bacaan hadis pada tiap-tiap hari waktu solat sunat Tarawih.

3)    Pungutan Zakat Fitrah yang akan di kendalikan oleh En. Ahmad Bin Talib.

4)    Majlis berbuka puasa di Surau pada 13/8/2011 dan pada 20/8/2011.

5)    Bacaan Tadarus Al Quran muslimin selepas solat sunat Tarawih.

6)    Bacaan Tahlil arwah selepas solat sunat Tarawih.

7)     Jamuan Moreh selepas solat sunat Tarawih.

Bagi sesiapa yang berhajat untuk memberi sumbangan kewangan, bolehlah mengisi
borang yang telah disediakan dan serahkan kepada ajk yang bertugas. Hanya Allah Taala sahaja yang dapat membalas segala jasa dan sumbangan anda.


Segala pertanyaan sila hubungi ajk Surau, emel atau menghantar ke
ruang komen blog ini.

Wasalam.

Tuesday, 10 May 2011

Majlis Ilmu 14 mei 2011

Majlis Ilmu pada bulan Mei ini akan diadakan pada
14 Mei 2011 pada hari Sabtu selepas solat maghrib berjemaah.
Ceramah akan di bawa oleh Ustaz Khalid Abu Azam.
Di harap semua kariah dapat hadir beramai-ramai.